
Altra atau ‘ultra’ adalah satu ‘subculture’ yang wujud di kalangan peminat bolasepak sesuatu pasukan. Acapkali, sokongan yang dipamerkan oleh Altra dikatakan lebih daripada kebiasaan atau kebanyakan penyokong pasukan tersebut. Perkataan ‘ultra’ itu sendiri, yang berasal dari Latin, bermaksud ‘melebihi’.
Altra biasanya fanatik dalam menyokong pasukan mereka. Mereka mempunyai lagu-lagu tersendiri serta sorakan yang unik dan tidak segan silu menunjukkan sokongan mereka walau apa pun keputusan perlawanan. Yang penting, semangat yang ditunjukkan di atas padang mestilah setanding dengan sokongan Altra. Mereka akan menuruti pasukan mereka ke parlawanan-perlawanan seberapa kerap yang mungkin, samada di gelanggang sendiri mahupun di gelanggang lawan, tanpa mengira samada jaraknya jauh ataupun kos yang tinggi. Itulah cara mereka membuktikan kesetiaan.
Walaupun begitu, Altra juga sering dikaitkan dengan kegiatan negatif seperti pelampau bolasepak atau budaya hooligan.
Di dalam konteks kancah bolasepak tanahair, sudah tiba masanya Altra ini diberikan ertikatanya yang tersendiri. Mungkin tradisi bolasepak di Malaysia tidak sehebat di Eropah atau Amerika Selatan. Namun, kita perlu ingat bahawa terdirinya negara Malaysia hanyalah lebih kurang 50 tahun dahulu. Walhal, kebanyakan kelab-kelab di Eropah telah mencipta dan menghidupkan tradisi mereka sejak lebih daripada 100 tahun!
Sokongan kepada bolasepak Malaysia secara umumnya perlu dikembalikan. Jika tiada sokongan, bahkan jika dihujani caci-maki tidak tentu hala, pastinya banyak bakat-bakat yang ada tidak lagi sanggup bergiat dengan bolasepak Malaysia. Yakinlah bahawa, jika setiap kita memainkan peranan, pasti lambat laun bolasepak Malaysia akan menampakkan kemajuan. Yakinlah, peranan peminat menjamin maju mundur bolasepak Malaysia!
ALTRA ADALAH PEMAIN KE-12!
Pasti ada Altra bolasepak Malaysia di luar sana. Laman web ini didedikasikan khas buat anda!





